Pilihanraya

PRK Kuala Kubu Bharu: Pengundi bukan Melayu digesa waspada ‘mulut manis’ pemimpin PN

Pengundi terutama masyarakat bukan Melayu di Kuala Kubu Bharu digesa waspada dengan kata-kata pemimpin Perikatan Nasional (PN) terutama dari PAS yang kononnya akan menjaga kepentingan mereka.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir dipetik berkata, kata-kata manis pemimpin PN itu semata-mata untuk mendapatkan undi masyarakat bukan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

Beliau memberi peringatan itu susulan kenyataan terbaharu Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan PAS tidak pernah menentang sekolah vernakular.

“Saya menganggap usaha Ketua Penerangan PAS melalui kenyataan itu hanyalah untuk menarik undi masyarakat Cina dan India khususnya sebagai kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

“Kempen itu nyata gagal dan makan diri,” katanya yang terkejut dengan kenyataan manis Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

“Ahli Parlimen Pasir Mas itu dan beberapa pemimpin tertinggi PAS, termasuk Presiden dan Timbalan Presidennya sebelum ini hanya menjulang sistem pendidikan tunggal.

“Sebenarnya, pengalaman sendiri selama 11 tahun di sekolah vernakular, saya tidak melihat apapun kelemahan yang dicanangkan dan saya yakin pelbagai usaha dibuat kerajaan dalam menumpukan kepada perpaduan serta kualiti pendidikan kebangsaan secara adil dan saksama,” tambah Bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan itu.

Ahmad Fadhli dikaitkan dengan “Sumpah Anak Watan” secara beramai-ramai dalam satu kongres pada 2019 yang salah satu sumpahnya adalah “untuk menjulang sistem pendidikan tunggal” dengan menuntut sekolah vernakular dimansuhkan.

Semalam Pengarah Komunikasi KEADILAN, Lee Chean Chung menyifatkan Ahmad Fadhli berbohong apabila mendakwa PAS tidak pernah menentang kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Melalui satu kenyataan media beliau menyenaraikan beberapa laporan media yang membuktikan PAS mahu sekolah vernakular dihapuskan.

BACA LAGI: Nik Nazmi kecam tindakan Ahmad Fadhli Shaari

Ia termasuk melalui akhbar Sinar Harian pada 22 Jun 2019 dengan tajuk “Hapuskan sistem pendidikan vernakular – PAS” memetik ucapan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Salamiah Md Nor yang kemudian disokong Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar melalui satu hantaran Facebook pada 26 Jun 2019.

Selain itu akhbar rasmi PAS sendiri, Harakah, pada 12 September 2020 jelasnya pernah mengeluarkan rencana bertajuk “Mansuhkan pelaksanaan sistem sekolah vernakular” memetik ucapan Pengarah Ameerah Negeri Melaka, Hazirah Isa.

Related Articles

Back to top button