Anwar seru pemimpin agama tegakkan keadilan, keamanan di seluruh dunia
Perdana Menteri menyeru pemimpin agama mengambil peranan lebih berani dan berkesan dalam menegakkan keadilan serta keamanan di seluruh dunia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucapan perasmian Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia (ICRL) 2024 di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada Selasa menegaskan, masyarakat umum sudah muak dan bosan dengan pertelingkahan dalam kalangan pemimpin yang tidak mempunyai pegangan moral, nurani dan memahami erti keadilan.
Pemimpin tersebut jelasnya bersuara lantang mengenai hak asasi manusia dan demokrasi, namun ia tidak diterjemahkan seperti diharapkan.
“Kita tidak tahu apa lagi yang boleh dipercayai, jadi biar pemimpin agama mengambil tempat (mainkan peranan). Jadilah (pemimpin) yang lebih berkesan, berani dalam (menyuarakan) pandangan anda termasuk terhadap pengikut anda sendiri.
“Anda mungkin seorang pemimpin Buddha, Hindu, Islam atau Kristian. Keadilan tetap keadilan.
“Jangan sekali-kali dalam mana-mana agama membenarkan pemimpin yang tidak adil dan melakukan penderaan terhadap sesiapa saja,” katanya.
ICRL 2024 menghimpunkan peserta terdiri daripada ulama, cendekiawan, pemimpin politik, ahli Parlimen, ahli akademik dan tokoh pemimpin agama Islam dan bukan Islam tempatan serta dari lebih 50 negara luar.
BACA LAGI: 2,000 ulama, cendekiawan berhimpun dalam persidangan terbesar ketua-ketua agama
Bertemakan ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ persidangan anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Liga Dunia Islam, Arab Saudi itu bertujuan memupuk semangat keharmonian dalam kalangan penganut pelbagai agama.
Sementara itu dalam konteks Malaysia Anwar menjelaskan, meskipun Islam adalah agama Persekutuan dengan 60 peratus penduduknya menganut agama itu, namun kepemimpinan negara tetap komited untuk memastikan hak penganut agama lain dihormati.