Politik

Kenyataan Takiyuddin secara jelas cubaan takutkan pengundi PRK Kuala Kubu Baharu

Kenyataan Perikatan Nasional (PN) yang ia akan memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), secara jelas bertujuan menakut-nakutkan pengundi, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan.

Beliau berkata, sekiranya PN mempunyai bukti kukuh bahawa terdapat pelanggaran peraturan pilihan raya oleh PH, gabungan itu sepatutnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ugutan untuk menfailkan petisyen sekiranya PN tewas adalah bukti jelas bahawa PN sedang mengugut dan tidak mahu pengundi untuk keluar mengundi dan melaksanakan hak mereka.

“Ini adalah suatu amalan demokrasi yang keji dan disebut sebagai ‘voter suppression’ dan ‘voter intimidation’,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa kerajaan menyalahguna aset untuk berkempen pada PRK KKB, dan PN akan memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya PH menang pada PRK berkenaan.

Sementara itu, Ammar turut mempersoalkan tentang perkara yang boleh mendatangkan kekeliruan sehingga kesalahan pilihan raya sudah dijelaskan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

“Amaran itu mengenai petisyen selepas PRK ibarat menghina demokrasi berparlimen Malaysia yang ditunjangi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar.

“Peringatan buat PN dan Takiyuddin, gabungan kuat dibelakang calon Perpaduan, Pang Sock Tau bukanlah seperti calon-calon Pas Datuk Ahmad Amzad Hashim (Parlimen Kuala Terengganu) dan Che Alias Hamid (Parlimen Kemaman).

“Mereka telah diisytiharkan mahkamah bahawa kempen mereka mengandungi elemen rasuah dan telah ditarik kemenangan mereka,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button