Semasa

Menteri Wilayah arah DBKL kaji SOP pemantauan ‘pokok tua’ sekitar Kuala Lumpur

Satu garis panduan khusus pemeliharaan ‘pokok tua’ di sekitar ibu negara akan segera dibentuk, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Mengulas kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah hotel, di Kuala Lumpur lewat petang semalam, Dr Zaliha berkata kebanyakan pokok di ibu kota sudah berada dalam lingkungan usia 50 hingga 80 tahun dan mempunyai risiko tinggi mendatangkan kecederaan.

“Walaupun kita nampak memang (keadaan) pokok (kelihatan masih) tegap, tapi saya rasa memang sudah tiba masanya dalam keadaan cuaca tidak menentu kita perlu ada garis panduan untuk kita lakukan sesuatu untuk keselamatan kepada pengguna jalan raya dan sekitar,” katanya ketika melawat lokasi kejadian yang mengakibatkan satu kematian itu.

Difahamkan kejadian berlaku susulan hujan lebat dan angin kuat. Ia turut membabitkan 17 kenderaan dan menghalang landasan monorel berhampiran.

BACA LAGI: Jabatan Wilayah Persekutuan,KPKT akan periksa semua sistem penggera di perumahan awam

Sementara itu menurut Dr Zaliha, pemeriksaan pokok-pokok di Kuala Lumpur dilakukan secara kerap oleh DBKL dengan pemantauan dibuat dua tahun sekali.

“Pokok yang tumbang hari ini adalah pokok lama berusia lebih 50 tahun dan ia di bawah pemantauan pihak swasta,” katanya.

Susulan kejadian itu tambahnya, DBKL akan menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas disebabkan kejadian tersebut.

Related Articles

Back to top button