Semasa

Pindaan Akta Penagih Dadah 1983 dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjangkakan pindaan kepada Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dapat dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pindaan itu yang akan memberi peluang kedua buat penagih mendapatkan rawatan untuk pulih daripada penagihan tanpa dimasukkan ke dalam penjara sudah berada di peringkat akhir.

“Jabatan Penjara mempunyai 41 penjara dengan lebih 78,000 penghuni ketika ini. Apabila kita profil data mendapati lebih separuh penghuni berkait dadah daripada kesalahan pengedaran sehingga menyalahgunakan bahan.

“Kalau semua kita nak ikut jalur (peraturan) bermula dengan laporan polis, buka siasatan dan masuk ke penjara. Penjara semakin sesak, itu tidak kondusif.

“Harapan kita adalah kalau setakat penyalahgunaan bahan, kita nak ‘shortcut’ (jalan pintas) undang-undang yang membenarkan Pegawai Pemulihan buat ujian, jika positif dihantar ke Puspen, berbanding amalan biasa (buat ujian) mesti pegawai perubatan,” katanya.

Saifuddin sebelumnya hadir ke Majlis Perasmian Hari Terbuka Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) 2024 di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kuala Lumpur pada Selasa.

BACA LAGI: Penagihan dadah adalah penyakit kronik yang perlu dirawat bukan dipenjara

Sementara itu Saifuddin berkata, pihaknya bersedia melaksanakan sebarang perubahan sebaik akta berkenaan dikuat kuasa termasuk memperkasa Pegawai Pemulihan dan seluruh keupayaan di Puspen.

“Saya fikir ini satu ‘game changer’ (perubahan). Kita ada 30 pusat pemulihan dan enam pusat sukarela yang mempunyai antara 10,000 hingga 12,000 klien, tapi yang pulih melalui komuniti jauh lebih besar kira-kira 70,000 orang.

“Melalui pindaan akta ini, mereka yang datang sukarela untuk menjalani pemulihan akan diletakkan di Puspen dan Pegawai Pemulihan akan diperkasakan bagi menggembleng pemulihan kelompok itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button