PM Anwar doakan Faisal Halim segera sembuh
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakilkan Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi melawat pemain bola sepak negara, Faisal Halim pada Selasa.
Perkara itu dimaklumkan Anwar melalui satu hantaran di Facebooknya lewat malam tadi.
“Mendoakan agar saudara Faisal dikurniakan afiyah sesegera mungkin dan dapat kembali meneruskan perjuangannya dalam sukan bola sepak,” katanya dalam hantaran tersebut.
Faisal yang juga bintang Selangor FC diserang oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara mengakibatkan badannya mengalami luka teruk selepas disembah asid sulfurik pekat.
Beliau kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dah telah disahkan melecur tahap empat di beberapa bahagian di tubuhnya.
Beliau yang memenangi Anugerah Gol Terbaik dalam saingan Piala Asia baru-baru ini dijadualkan akan menjalani beberapa siri pembedahan selepas ini.
BACA LAGI: Hannah kecam serangan terhadap Faisal Halim, gesa polis segera buru pelaku
Semalam Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh memaklumkan Institut Sukan Negara (ISN) akan menanggung sepenuhnya kos pemulihan Faisal.
Hannah yang yakin Faisal akan kembali beraksi berkata, ISN akan merangka satu program khas merangkumi fisioterapi, senaman psikologi, strength and conditioning, sokongan psikologi dan pemakanan untuk membantu proses pemulihan Faisal.
“Saya nak Faisal fokus kepada rawatan dan pemulihan dan tidak risaukan bila dia boleh kembali ke bola sepak atau mana-mana pertandingan.
“Saya nak dia tahu yang dia bukan saja dihargai oleh pihak kerajaan, tetapi seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakannya,” kata Hannah.