Sukan

Skuad hoki Malaysia bangkit tewaskan New Zealand 6-4 pada perlawanan Piala Sultan Azlan Shah

Skuad hoki Malaysia mempamerkan aksi memberangsangkan apabila mengejutkan pasukan New Zealand 6-4 pada perlawanan ketiga Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 di Stadium Hoki Azlan Shah pada Selasa.

Kemenangan kedua Speedy Tigers selepas membenam Kanada 6-2 pada Isnin menyaksikan penyerang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal melakukan hatrik kedua pada perlawanan dalam keadaan cuaca hujan.

Bagaimanapun, anak buah Sarjit Singh tidak menunggu lama untuk merobek gawang pasukan Sukan Olimpik Paris 2024 itu dengan jaringan padang Faizal Saari seawal minit kedua perlawanan.

Malaysia, pasukan ranking ke-13 dunia, menambah jaringan kedua tiga minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti Azrai Aizad sebelum pemain muda Azimuddin Syakir Kamaruddin menceriakan kira-kira 4,000 penonton dengan jaringan ketiga pada minit keenam.

Azrai Aizad sekali lagi menemukan sasaran apabila menyudahkan hantaran cantik Shello Silverius pada minit ke-14 untuk mengukuhkan kedudukan sebelum skuad Black Sticks bangkit untuk mengejar ketinggalan 3-0.

Jake Smith menghasilkan gol pertama New Zealand menerusi jaringan padang pada minit ke-19 dan pukulan penalti pada minit ke-28 oleh Jonty Elmes.

New Zealand, juara dua kali mempunyai peluang untuk merapatkan jurang menerusi pukulan penalti kedua daripada Elmes dengan hanya 18 saat sebelum rehat tetapi penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman menepis bola di sebelah kanan untuk mengekalkan kedudukan 4-2.

Selepas suku ketiga tanpa jaringan, Speedy Tigers meneruskan pesta gol pada suku terakhir apabila Muhajir Abdul Rauf menolak masuk hantaran Azrai Aizad pada minit ke-52.

Jurulatih New Zealand Greg Nicol kemudian memilih ‘power-play’ (tanpa penjaga gol dengan memasukkan pemain lain) dan percaturan itu membuahkan hasil dengan jaringan pukulan sudut penalti Scott Cossslett pada minit ke-58.

Bagaimanapun, taktik itu membawa padah apabila Speedy Tigers menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-60 menerusi serangan balas daripada Azrai Aizad untuk melengkapkan hatrik kedua.

Issac Houlbrooke menjaringkan gol keempat New Zealand pada 18 saat perlawanan tamat untuk aksi menghiburkan itu berkesudahan 6-4.

Kini sebarang peluang Malaysia untuk ke aksi seterusnya bergantung kepada pertemuan dengan Jepun pada Khamis dan Korea Selatan pada Jumaat ini.

Related Articles

Back to top button