Sukan

ABIM kecam serangan terhadap pemain bola, gesa tolak ekstremisme dan hooliganisme

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya keganasan dilakukan terhadap pemain bola sepak negara baru-baru ini.

Naib Presidennya, Zairudin Hashim berkata, ABIM menzahirkan rasa terkejut dan sedih terhadap insiden itu dan menggesa perlakuan ekstremisme dan taksub dijauhkan daripada sukan di negara ini.

“Pemikiran yang menjurus kepada ekstremisme dan hooliganisme perlu dijauhkan kerana ia boleh membawa kepada perlakuan ganas dan jenayah,” tegas ABIM.

Pemain sayap bola sepak negara, Faisal Halim disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali pada Ahad lalu di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Susulan serangan itu Faisal dilapor mengalami kelecuran tahap empat dan terpaksa menjalani beberapa sesi pembedahan bagi menstabilkannya.

Sebelumnya, anggota skuad Harimau Malaya, Akhyar Rashid menjadi mangsa pukul dan samun di Terengganu dan kes terbaharu pada awal pagi Rabu membabitkan bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim yang cermin keretanya dipecah oleh individu berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Johor Bahru.

BACA LAGI: PM Anwar doakan Faisal Halim segera sembuh

Sementara itu Zairudin menggesa semua pihak mengelakkan daripada menyebarkan sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada siasatan yang lebih terperinci dijalankan.

“ABIM juga menggalakkan umat Islam untuk menunaikan solat hajat untuk kesembuhan dan kesejahteraan Faisal Halim, Akhyar dan kita semua.

“Semoga urusan Faisal Halim dan Akyar dipermudahkan. Rakyat Malaysia perlu menjauhi gangsterisme, kebencian dan permusuhan dalam sukan bagi memastikan pembangunannya tidak terganggu selain semua warga sektor itu kekal selamat,” katanya.

Related Articles

Back to top button