Negeri

MB Selangor arah PBT cantas semua dahan pokok tua

Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan arahan supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu melaksana kerja-kerja memotong dan memangkas dahan pokok yang sudah tua.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, arahan itu akan dikeluarkan segera menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang dijadual pada Jumaat bagi mengelak kejadian di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur berulang.

“Saya akan minta supaya PBT untuk trim bagi mengelakkan pokok tumbang atau dahan patah ketika (orang) lalu atau ditimpa akibat angin kuat.

“Ini semua fenomena yang perlu diperhatikan terutamanya oleh PBT bagi memastikan keselamatan dan juga kehidupan rakyat sekeliling terjamin,” katanya pada satu sidang media.

Amirudin ditemui selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di Shah Alam pada Rabu.

Media pada Selasa melaporkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur berhampiran sebuah hotel.

Pokok terbabit juga menghempap 17 kenderaan selain dahan pokok turut mengenai landasan monorel.

BACA LAGI: Menteri Wilayah arah DBKL kaji SOP pemantauan ‘pokok tua’ sekitar Kuala Lumpur

Sementara itu Amirudin yakin semua PBT di negeri itu telah mengambil pengajaran susulan kejadian banyak pokok tumbang ketika hujan lebat di sekitar Shah Alam beberapa tahun lalu.

“Puluhan pokok tumbang dan itu nasib baik tidak meragut nyawa. Sebab itu saya percaya mereka telah belajar daripada peristiwa tersebut dan telah ambil langkah-langkah lanjut tetapi peringatan harus kita teruskan,” katanya.

Related Articles

Back to top button