Semasa

Nahas helikopter TLDM: Laporan awal bakal diterbitkan hari ini

Laporan awal berkaitan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya dijangka diterbitkan hari ini.

Jurucakap mewakili kerajaan Fahmi Fadhil pada satu sidang media semalam berkata, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sudah membentangkan maklum balas laporan itu semasa mesyuarat Kabinet .

Beliau dijangka akan membuat kenyataan mengenai perkara berkenaan kepada media.

“Menteri Pertahanan sudah memberi maklum balas mengenai status laporan awal siasatan.

“Beliau memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa laporan awal akan diterbitkan esok dan ini laporan awal,” katanya sebagai mengulas mesyuarat itu.

Dalam kejadian pada jam 9.32 pagi, 23 April lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban, selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

BACA LAGI: KPT bantu anak-anak mangsa nahas helikopter TLDM

Tragedi menyayat hati itu merupakan nahas terburuk membabitkan nahas helikopter di negara ini sejak sembilan tahun lalu dan yang kelapan berlaku dalam tempoh sama.

Susulan itu kerajaan telah memberi komitmen untuk memberi laporan interim dalam tempoh dua minggu, manakala laporan penuh kejadian dalam tempoh sebulan.

Related Articles

Back to top button