Semasa

PM Anwar hadir Malam Langkahan Wira DBP

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan untuk menghadiri Malam Langkahan Wira Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di Kuala Lumpur malam tadi.

Acara itu yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir menyaksikan Sasterawan Negara ke-10 yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Anwar Ridhwan mendeklamasikan puisi.

Malam Langkahan Wira bertujuan memperkasa sastera dalam kalangan pelajar dan masyarakat dengan kisah pejuang yang memperjuang keadilan sebelum merdeka

Ia dianjurkan bersama Persatuan Penyair Malaysia, DBP dan Kementerian Pendidikan (KPM).

BACA LAGI: Perjuangan bahasa Melayu oleh PM Anwar tak pernah luntur

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan yang hadir ke majlis itu turut menyumbangkan bacaan puisi.

Sasterawan Negara ke-15 yang juga penyair terkemuka tanah air, Datuk Rahman Shaari pula memperdengar puisi nukilannya yang bertajuk Langkahan Wira.

Sementara itu Anwar melalui satu catatan di laman Facebooknya berkata, majlis seumpama ini perlu diperbanyak dan diperluaskan selaras usaha menjulang dan memartabat bahasa Melayu, terutama dalam kalangan anak muda dan masyarakat keseluruhannya.

“Terkesan melihat persembahan pembukaan oleh Sekolah Seni Kuala Lumpur yang mendeklamasikan puisi keramat Keranda 152 karya Sasterawan Negara Usman Awang. Puisi ini telah mengiringi perjuangan memartabat dan menghidupkan bahasa Melayu daripada dikuburkan penguasa suatu ketika dulu.

“Sebelum pulang, sempat berbicara dengan Sasterawan Negara A Samad Said. Terkenang puisi Di Atas Padang Sejarah nukilan Pak Samad yang mengiringi Himpunan Kebangkitan Rakyat, ketika puisi diangkat menjadi senjata tatkala kita berjuang melawan kebobrokan penguasa beberapa tahun lalu,” katanya dalam hantaran tersebut.

Related Articles

Back to top button