Nasional

PRK Kuala Kubu Baharu: KDN jamin tahap keselamatan tertinggi pada hari pengundian Sabtu ini

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan aspek keselamatan pada tahap tertinggi bagi memastikan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, pada Sabtu ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sejumlah pasukan polis sudah diatur gerakkan bagi mengawal perjalanan proses berkenaan namun jumlah angkanya tidak akan didedahkan kepada umum.

Beliau berkata, perbincangan mengenai penyelarasan aspek keselamatan ketika hari pengundian dan tempoh berkempen juga sudah diadakan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

“Pasukan polis sudah deploy (diatur gerakkan) dengan kekuatan dianggap munasabah dan mencukupi serta angkanya tidak boleh didedahkan.

“Kita juga dapati bilangan aduan sepanjang tempoh berkempen yang sudah memasuki fasa kedua adalah sangat sedikit. Kalau ada pun, satu kes berkaitan logo Umno dan DAP digabungkan dan menjadi basis (asas) siasatan pihak polis.

“(Aduan) lain kita hampir tiada laporan yang dianggap mencemaskan. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh pun menyebut cuma ada satu atau dua perkara (aduan) dan ini adalah hasil pemantauan berterusan,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Isu Semasa di Hulu Selangor, malam tadi.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) memaklumkan, komitmen pasukan polis bagi menjamin tahap keselamatan berada pada tahap tertinggi berterusan hingga proses pengundian selesai.

“Ia bagi memastikan pemilih di Kuala Kubu Bharu dapat keluar (mengundi) dengan perasaan aman, tenang dan tanpa rasa bimbang. Ini adalah mesej pertama (disampaikan) kepada Razarudin, petang semalam,” katanya.

Related Articles

Back to top button