Negeri

MAIWP nafi dakwaan Idris Ahmad, wang kutipan zakat tetap diguna sepenuhnya untuk asnaf

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memaklumkan bahawa trend pembayar zakat yang membuat bayaran di akhir tahun menyumbang kepada situasi wang zakat tahun semasa tidak dapat diagihkan pada tahun yang sama.

Walau bagaimanapun MAIWP berkata, pihaknya tetap berusaha untuk mengagihkan wang kutipan zakat tersebut segera supaya tidak timbul sebarang spekulasi atau dakwaan bahawa wang tersebut tidak digunakan sepenuhnya.

MAIWP berkata demikian bagi menjawab satu artikel yang telah diterbitkan pada 9 Mei lalu oleh akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Kenapa tidak gunakan sepenuhnya kutipan zakat?’ seperti yang didakwa oleh bekas Menteri Agama, Datuk Idris Ahamd.

Jelasnya lagi, melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP telah berjaya mengutip zakat di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi tahun 2023 sebanyak RM1.03 bilion iaitu peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding kutipan tahun 2022.

“MAIWP sentiasa berusaha dari semasa ke semasa mengagihkan wang kutipan zakat kepada asnaf di Wilayah_Wilayah Persekutuan melalui 38 buah skim-skim agihan yang disediakan.

“Sehingga Disember 2023, MAIWP telah Berjaya mengagihkan sebanyak RM1.02 billion bersamaan dengan 98.8 peratus daripada jumlah kutipan yang dikumpul.

“Agihan ini adalah meliputi agihan secara langsung RM1 bilion iaitu 97.28 peratus. Agihan zakat secara langsung adalah agihan mengikut kluster-kluster kebajikan, perlindungan, ekonomi, perubatan, pendidikan dan pembangunan ummah.

“Manakala baki RM15.6 juta iaitu 1.52 peratus adalah daripada agihan secra tidak langsung. Agihan tak langsung adalah merupakan penyediaan perbelanjaan prasarana bagi umat Islam,” jelasnya.

MAIWP berkata, bagi tahun 2024, peruntukan perbelanjaan agihan zakat MAIWP berjumlah RM1.305 bilion.

“Jumlah ini melebihi 17 peratus bersamaan RM190.4 juta daripada sasaran kutipan agihan zakat tahun ini yang berjumlah RM1.115 bilion.

“Peruntukan agihan ini mengambil kira wang kutipan zakat yang tidak sempat diagihkan di penghujung tahun 2023.

“Sehingga April 2024, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM328 juta,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button