Umum

Melaka dipilih sebagai tuan rumah Hari Belia Negara 24 hingga 26 Mei ini

Melaka bakal menjadi tuan rumah Hari Belia Negara (HBN) peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka, selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Mei ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi sambutan di negeri ini dengan 73 pengisian aktiviti menarik berfokuskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda (GHRM).

Katanya, mengangkat tema ‘Yakin Boleh’ antara aktiviti pengisian termasuk Malam Solidariti Palestin, Larian Yakin Boleh Belia Malaysia 2024, Himpunan Komuniti Belia, perkhemahan belia, Pavilion Seni Budaya Negeri-negeri, karnival kerjaya, jualan dan pameran agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta.

“Kemuncak sambutan HBN adalah perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam 25 Mei itu bersama-sama penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara peringkat kebangsaan.

“Penganjuran ini dijangka dihadiri seramai 30,000 belia dan mampu memperkukuh potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara dan memperluaskan akses belia sesuai dengan kerangka Malaysia Madani dan Model Pembangunan Belia Madani 2030,” katanya.

Adam Adli berkata, HBN adalah pengiktirafan dan penghargaan khusus diberikan kerajaan buat golongan belia yang turut memainkan peranan secara signifikan dalam arus perdana pembangunan negara.

“Lebih 70 program telah diatur sebagai pengisian sepanjang tiga hari sambutan HBN itu dan dijangka penganjuran HBN ini dapat memperkukuhkan potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara seterusnya memperluaskan akses belia sesuai dengan kerangka Malaysia Madani dan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030),” ujarnya.

Tambah beliau, sambutan di peringkat negeri pula akan berjalan serentak di seluruh negara dari 17 hingga 19 Mei ini.

Related Articles

Back to top button