Pilihanraya

Pengundi diingatkan keluar mengundi calon PH, Pang Sock Tao aspirasi Kerajaan Perpaduan – Asyraf Wajdi

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon kepada seluruh pengundi Kuala Kubu Baharu (KKB) agar memberi undi kepada calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao.

Katanya, sokongan kepada Sock Tao mustahak kerana beliau bukannya mewakili satu parti tetapi adalah seiring dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan.

“Sebab itu pada Sabtu ini, saya selaku Setiausaha Agung UMNO minta seluruh orang Melayu, penyokong UMNO sebab dulu kita pernah sokong calon MCA.

“Hari ini kita sokong yang mewakili aspirasi Kerajaan Perpaduan, siapa dia? Calon nombor dua (Sock Tao). Yang paling penting Sabtu ini kita kena nobatkan YB (Yang Berhormat) Pang (Sock Tao sebagai wakil rakyat).

“Dia (Sock Tao) akan jaga semua. Dia akan jaga bukan saja orang UMNO, Barisan Nasional (BN) dan PH tetapi juga seluruh rakyat berbilang kaum. Jangan lupa ini semua muka yang mengangkatnya.

“Saya percaya, YB yang kita angkat akan jadi jambatan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan. Saya percaya kesejahteraan dan kebajikan rakyat akan terpelihara. Justeru, saya seru sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan. Undi calon nombor dua (Sock Tao),” katanya dalam ceramah mega perpaduan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Asyraf percaya orang Melayu dan akar umbi UMNO sememangnya bijak dan tidak terpengaruh sentimen yang dimainkan pembangkang.

“Saya percaya orang Melayu khususnya pengundi-pengundi UMNO amat bijaksana. Mereka tahu bila mahu memberikan sokongan dan dukungan serta apakah keperluan untuk kita. Akhirnya tidak akan termakan dengan mainan sentimen murahan.

“Ini bukan kita hendak mainkan sentimen Melayu lawan Cina tapi ini untuk memilih pemimpin yang mewakili suara rakyat yang dapat menjadi jambatan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kerajaan negeri hari ini adalah Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Persekutuan adalah Kerajaan Perpaduan dan wakil rakyat yang akan dipilih ini bukan sebenarnya mewakili parti-parti tertentu tetapi mereka mewakili semangat Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button