Negeri

PM Anwar arah selesai kemiskinan tegar di Terengganu dalam tempoh 2 bulan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu kemiskinan tegar membabitkan 1,663 keluarga di Terengganu dinoktahkan segera dalam tempoh dua bulan.

Berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Nerus pada Khamis, beliau menegaskan pentadbiranya optimis dapat menyelesaikan masalah miskin tegar di Terengganu.

Bagaimanapun menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu bagi menjayakan usaha tersebut.

“Kita bincang dengan Persekutuan dan negeri akan selesai, insya-Allah dengan jumlah tak sampai dua ribu tak kan lah dengan seluruh agensi kementerian, pelbagai kementerian dengan kerajaan negeri kita tidak boleh tolong 1,000 keluarga supaya selamat daripada kemiskinan yang tegar.

“Maksudnya tak cukup makan, tidak ada pakaian anak-anak, susah untuk beli uniform (pakaian) anak-anak ke sekolah.

“(Ini boleh dicapai) dengan syarat kerajaan negeri dan Persekutuan bekerjasama sepenuhnya (untuk) kita kenal pasti jumlah 1,600 keluarga dan insya-Allah, di negeri Terengganu, kita boleh noktahkan kemiskinan tegar dalam tempoh dua bulan akan datang, ” katanya dipetik.

Turut hadir dalam program sambutan di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

BACA LAGI: Tuanku Muhriz zahir kegembiraan terhadap prestasi kepimpinan Aminuddin Harun

Anwar ketika mengambil alih pentadbiran negara menekankan usaha menangani kemiskinan tegar.

Dengan tekad tersebut, isu kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan telah berjaya diatasi .

Related Articles

Back to top button