KKM jalankan kajian menyeluruh keperluan sumber manusia di fasiliti kesihatan
Kajian menyeluruh berhubung perancangan keperluan sumber manusia di fasiliti kesihatan kerajaan sedang dilaksana Kementerian Kesihatan (KKM).
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kajian itu bagi memastikan sumber manusia atau jumlah petugas seperti doktor, pakar perubatan dan jururawat dapat disediakan secukupnya selari dengan fasiliti kesihatan yang dibangunkan.
“Jadi di sini kita dapat lihat kita mahu fasiliti dibangunkan berserta dengan sumber manusia sama ada dari sudut pakar-pakarnya atau pun termasuk juga keseluruhan pasukan,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata begitu kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas di Baling, Kedah semalam.
BACA LAGI: KKM tubuh jawatankuasa,rangka mekanisme bangun semula klinik kesihatan di Sarawak
Sementara itu sebagai mengulas mengenai bangunan tambahan Hospital Baling, ia jelasnya telah disiapkan pada 26 Feb lepas dengan kos keseluruhan berjumlah RM124.7 juta.
Bangunan baharu melibatkan sembilan bidang kepakaran itu akan mula beroperasi pada 10 Jun ini sekali gus meningkatkan kapasiti bilangan katil Hospital Baling kepada 210 katil, empat dewan bedah, lapan katil Unit Rawatan Rapi dan lapan katil Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU).
Manakala Klinik Kesihatan Kepala Batas pula siap sepenuhnya pada 29 Feb lepas melibatkan kos RM31 juta bagi menggantikan klinik kesihatan sedia ada yang tidak lagi dapat menampung keperluan perkhidmatan kesihatan pada masa ini.