PM Anwar beri penghormatan terakhir Mutang Tagal
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal di Pusat Peringatan Nirvana 2, di Kuala Lumpur.
Ketibaan Anwar pada jam 12 tengah hari disambut isteri mendiang, Datin Ho May Leng berserta anaknya.
Anwar pada hantaran di Facebook menyifatkan pemergian Mutang sebagai satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.
“Mendiang juga miliki prinsip dan nilai kukuh serta serius dalam usaha reformasi Parlimen.
“Saya sampaikan ucapan takziah kepada isteri mendiang, Datin Ho May Leng dan keluarga. Semoga mereka kuat dan tabah hadapi dugaan ini,” katanya.
Anwar sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit dan bertanya khabar bersama keluarga mendiang serta hadirin.
Hadir sama dalam upacara berkenaan ialah Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Pada 11 Mei 2024, Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara mengesahkan Mutang, 69, meninggal dunia pada 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, selepas menerima rawatan di situ setibanya dari Azerbaijan pada 6 Mei lalu.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas, Sarawak menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.