Global

PM Anwar sambut baik harapan agar hubungan Malaysia- Singapura terus mekar

Malaysia bersedia untuk terus memperkukuh hubungan dengan negara jiran Singapura di bawah pentadbiran bakal Perdana Menteri republik itu yang baharu, Lawrence Wong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan itu ebagai menyambut baik harapan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang mahu melihat hubungan akrab kedua-dua negara terus mekar di bawah pentadbiran Lawrence.

“PM Lee memaklumkan secara rasmi akan menyerahkan tampuk pentadbiran kepada Lawrence Wong minggu depan dan menzahirkan harapan melihat hubungan akrab Malaysia-Singapura terus mekar di bawah kepemimpinan baharu negara itu.

“Saya sambut baik harapan PM Lee dan sedia untuk terus memperkukuh hubungan Malaysia dan Singapura di bawah pentadbiran Lawrence,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Terdahulu, Anwar memaklumkan telah menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya itu selepas merasmikan Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 di Kuala Lumpur.

Lawrence, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa Singapura, akan mengambil alih tugas Perdana Menteri daripada Hsien Loong pada 15 Mei ini.

BACA LAGI: Malaysia-Singapura meterai MoU kerjasama bangunkan Zon Ekonomi Khas

Sementara itu Anwar berkata, pada perbualan itu beliau juga sempat mengundang Hsien Loong dan isterinya, Ho Ching ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Saya dan Azizah amat menghargai hubungan peribadi yang erat bersama PM Lee dan Ho Ching. Bicara kami dalam setiap pertemuan sentiasa berpaksikan sahabat kepada sahabat.

“Selamat maju jaya sahabat. Semoga masa depan yang cemerlang terus menanti Malaysia dan Singapura, Insya-Allah,” katanya.

Related Articles

Back to top button