Pilihanraya

Kemenangan Pang Sock Tao bukti rakyat mahu penyatuan – Amirudin Shari

Kemenangan calon mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada Sabtu memberi isyarat bahawa rakyat khususnya pengundi kawasan itu tidak mahu agen pemecahbelah untuk mewakili mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari melalui satu kenyataan berkata, keputusan pilihan raya itu juga membuktikan rakyat inginkan penyatuan dan kebersamaan sebagai asas membawa kemajuan ekonomi negeri dan negara .

“Suara warga KKB juga merupakan pengiktirafan kepada khidmat, jasa, dan bakti mendiang YB Puan Lee Kee Hiong yang telah membela penduduk di sini sejak tahun 2013.

“Keputusan ini juga memberikan tanggungjawab kepada Puan Pang Sock Tao supayal egasi mendiang YB Puan Lee Kee Hiong diteruskan.

“Saya selaku Menteri Besar akan memastikan bahawa ikhtiar yang dibuat dalam tempoh kempen dilaksanakan sebaik mungkin bagi kemaslahatan warga KKB dan Hulu Selangor,” jelasnya.

BACA LAGI: Perikatan Nasional kalah di PRK Kuala Kubu Bharu

Suruhanjaya Pilihan Raya malam tadi mengumumkan Sock Tao memenangi pilihan raya kecil DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 3,869 undi.

Sementara itu melalui kenyataan sama Amirudin menyifatkan kepercayaan orang Melayu kepada Kerajaan Perpaduan berkembang manakala sokongan masyarakat Cina dan India serta orang Asli terus mengukuh.

“Ini adalah tanda sebagai rakyat Malaysia, kita menerima bahawa kita saling memerlukan. Kerajaan Perpaduan adalah gabungan tepat yang mampu majukan negara dan membela rakyat secara adil,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang terlibat dengan proses pilihraya itu termasuk kepada jentera dan penyokong Kerajaan Perpaduan yang gigih sepanjang masa berkempen.

“Kemenangan ini bukan suatu perkara yang hanya patut dibanggakan. Ini merupakan amanah rakyat yang harus menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai pemimpin yang diberikan kepercayaan untuk terus memajukan negeri dan memulihkan negara,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button