Nasional

Malaysia komited kekalkan 50 peratus liputan kawasan berhutan berbanding keluasan tanah – Nik Nazmi

Malaysia sentiasa komited untuk mengekalkan 50 peratus litupan kawasan berhutan di Malaysia berbanding dengan keluasan tanah selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia mempunyai 54.58 peratus atau 18.05 juta hektar kawasan berhutan dan litupan pokok.

“Saya telah menjelaskan mengenai pentingnya bantuan kewangan antarabangsa membabitkan institusi kewangan global seperti Global Environment Facility (GEF) kepada negara anggota Forum Perhutanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFF) melalui pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti khususnya negara membangun bagi membantu negara berkenaan melaksanakan inisiatif pengurusan utan secara berkekalan (PHSB) untuk memelihara dan memulihara khazanah hutan yang amat berharga.

“Malaysia turut menekankan sebagai sebuah negara membangun, pembangunan ekonomi negara dilaksanakan berdasarkan prinsip ‘Common but Differentiated Responsibilities and Respective Capabilities’ (CBDR-RC).

“Berdasarkan komitmen yang dibuat melalui Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala, Malaysia akan sentiasa memainkan peranan penting bagi memastikan sumber alam semula jadi dipelihara dan dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

NRES turut mencadangkan UNFF diperkasakan daripada suatu instrumen bersifat sukarela dan tidak mengikat kepada kerangka lebih formal berbentuk konvensyen.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cadangan itu mampu mengukuhkan komitmen sesebuah negara dalam pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber hutan secara berkekalan.

“UNFF adalah satu forum bagi membincangkan pembangunan dasar, khususnya pelaksanaan PHSB dan dialog berterusan di antara kerajaan dan organisasi antarabangsa serta lain-lain pertubuhan berkepentingan mengenai perhutanan.

“Mesyuarat UNFF diadakan setiap tahun dan Malaysia mengikuti setiap sesi forum secara aktif,” katanya.

Beliau berkata, dokumen HLS Declaration dan Omnibus Resolution telah diterima pakai pada akhir sesi ke-19 (UNFF19).

“Malaysia juga telah memaklumkan mengenai protokol Forest Conservation Certificate (FCC), iaitu sebuah instrument bukan berasaskan pasaran di bawah Kerangka Kewangan REDD PLUS yang telah dimuktamadkan.

“Saya percaya bahawa pendekatan strategik yang diambil oleh Malaysia semasa sesi UNFF19 telah dapat mengetengahkan kepentingan sektor perhutanan kepada pembangunan sosioekonomi, konservasi biodiversiti dan kestabilan alam sekitar,” katanya.

Related Articles

Back to top button