Penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam penghasilan berita perlu diawasi – PWP
Persatuan Wartawan Perlis (PWP) menyarankan agar penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan berita perlu diawasi demi meningkatkan keselamatan, kebolehpercayaan dan integriti maklumat disampaikan kepada masyarakat.
Presiden PWP, Syed Azlan Sayid Hizar berkata, inisiatif pengawasan itu penting untuk memastikan AI digunakan dalam penghasilan berita mengikut garis panduan etika kewartawanan siber yang ketat.
“Ketelusan dan akauntabiliti merupakan aspek penting dalam penggunaan teknologi AI untuk menghasilkan berita berkualiti dan memenuhi standard profesionalisme dalam industri media.
“Dalam konteks Malaysia, penerapan etika kewartawanan siber dalam kalangan pelajar adalah penting contohnya sekarang banyak aplikasi yang boleh menulis seperti ChatGPT, Smodin dan lain-lain” katanya memetic laporan Bernama.
Cadangan PWP itu bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 27 Mei ini dengan mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’.
Kemuncak sambutan HAWANA 2024 bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei ini.
Pelbagai program dirangka bersempena dengan HAWANA 2024 antaranya Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’.
Turut diadakan program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merangkumi enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur, Selatan serta zon Tengah dengan pelancarannya dijadualkan pada 24 Mei oleh Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.