Negeri

Pernas sasar potensi pembiayaan di Sarawak sebanyak RM4 juta bagi perkukuh industri francais

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) meletakkan sasaran potensi pembiayaan di Sarawak sebanyak RM4 juta bagi memperkukuhkan industri francais di negeri itu.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu turut menyasarkan RM50 juta bagi keseluruhan siri jelajah program BizFrancais pada tahun ini termasuk di tiga negeri terpilih, termasuk Pulau Pinang, Pahang dan Sabah.

Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr Ripin Lamat berkata, program BizFrancais Sarawak 2024 merupakan kerjasama kementerian bersama dengan pihak kerajaan negeri.

“Program ini bertujuan bagi memperkasakan keusahawanan francais di negeri Sarawak.

“Dalam masa yang sama ia juga untuk menyelaraskan dengan matlamat kementerian dalam melahirkan usahawan belia unggul menjelang tahun 2030 nanti,” jelasnya ketika berucap di Majlis Perasmian Program BizFrancais tersebut.

Sebelum ini, program tersebut berjaya menyalurkan sebanyak RM25.3 juta kepada para usahawan melalui program francais.

Pernas juga telah berjaya membiayai lebih daripada RM10 juta kepada usahawan Sarawak di mana lebih 15 jenama francais dan pra-francais telah dibangunkan melalui program ini sejak 2004.

Pernas adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 29 November 1969 yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia.

Related Articles

Back to top button