Semasa

Keputusan PRK Kuala Kubu Bharu simbolik rakyat yakini Kerajaan Perpaduan – Penganalisis

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi menyifatkan kemenangan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di Kuala Kubu Bharu simbolik penerimaan rakyat terhadap gabungan Kerajaan Perpaduan.

Melalui satu kenyataan beliau berkata, rakyat yakin kerajaan yang dibentuk melalui gabungan 18 parti itu mampu membawa negeri dan negara lebih baik meskipun keadaan ekonomi dunia yang mencabar.

“Faktor kemenangan ialah keyakinan terhadap kerajaan negeri dan pusat yang mampu membawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kehidupan yang lebih harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Keyakinan ini terlihat apabila peranan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) yang mampu mengemudi Selangor dan peranan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang dilihat lebih berwibawa membawa negara ke landasan yang lebih baik,” katanya dipetik.

Awang Azman melalui kenyataanya turut berkata, isu 3R yang membabitkan raja, kaum dan agama kurang mendapat tempat di hati pengundi setempat di KKB.

Ia jelasnya terbukti apabila calon kerajaan memenangi denam daripada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mempunyai majoriti Melayu berbanding keputusan pilihanraya negeri tahun lepas yang menyaksikan PDM itu dikuasai Pembangkang.

“Pengumuman enam ahli Parlimen dari Bersatu menyokong kerajaan perpaduan, sambutan Aidilfitri kerajaan di negeri pembangkang dan kestabilan kerajaan menyaksikan orang Melayu semakin selesa untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Permohonan maaf secara terbuka oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada Perdana Menteri turut menyumbang sokongan rakyat kepada calon kerajaan,” tambahnya.

BACA LAGI: KEADILAN kerah jentera, tangkis kempen fitnah pembangkang terkait masyarakat India

Mengulas mengenai kempen boikot oleh pembangkang yang menyasarkan masyarakat India , Awang Azman menyifatkan ia tidak berlaku kerana melihat mereka yang terlibat tersebut tidak mempunyai wibawa dan ditolak oleh orang India sendiri.

Related Articles

Back to top button