Masyarakat Kadazan Dusun diseru terlibat sektor pertanian
Komuniti Kadazan Dusun di Sarawak yang mempunyai sumber tanah yang luas diseru supaya terlibat dengan sektor pertanian.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan melalui kementeriannya menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan dan bantuan kepada usahawan atau koperasi yang berminat mengembangkan perniagaan atau perusahaan dalam sektor makanan.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi-agensi di bawah kementerian ini menyediakan pelbagai skim dan bantuan yang bersesuaian.
“Contohnya di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Pembiayaan Tabung Modal Pusingan sehingga RM100,000 disediakan kepada sesebuah koperasi yang terlibat dalam sektor agro makanan seperti pertanian, perikanan dan penternakan.
“Begitu juga dengan agensi-agensi lain seperti SME Bank, Bank Rakyat dan Tekun Nasional yang juga mempunyai skim-skim pembiayaan yang ada kaitan dengan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dalam sektor makanan,” katanya selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan anjuran UPKO, di Dewan Shahbandar Makang, di Kuala Penyu, Sabah pada Ahad.
BACA LAGI: Selepas 19 tahun, DOSM bakal laksana Banci Pertanian rangkum tanaman, ternakan dan perikanan
Sambutan tersebut bertemakan ‘Kaamatan Melangkau Keterjaminan Makanan’ menerusi pembangunan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Mesej yang kita mahu terapkan kepada masyarakat sempena sambutan Pesta Kaamatan ialah, Sabah kaya dengan sumber asli dan selayaknya, kita bangunkan sumber asli seperti tanah untuk tanaman pertanian atau penternakan.
“Malaysia masih bergantung kepada import bahan makanan. Kita seharusnya memanfaatkan sepenuhnya sumber yang ada di negara kita bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan import makanan.
“Krisis keterjaminan makanan harus menjadi peringatan kita semua dan harus dikembangkan sebagai satu peluang dalam keusahawanan,” katanya.