Semasa

NRES seru kerajaan negeri pinda enakmen berkaitan penyahwartaan hutan

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyeru semua kerajaan negeri melaksanakan pindaan terhadap enakmen berkaitan hutan negeri masing-masing dengan memasukkan kaedah penyiasatan awam sebelum sebarang penyahwartaan terhadap mana-mana kawasan hutan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika membuat seruan itu berkata, kawasan hutan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan mempunyai undang-undang perhutanan sendiri.

Setakat ini tegasnya, hanya Selangor dan Perlis telah memasukkan kaedah penyiasatan awam ke dalam enakmen berkaitan hutan negeri masing-masing.

“Kita telah mengingatkan kerajaan negeri yang lain untuk membuat pindaan sama kepada enakmen yang relevan di negeri masing-masing sebab kita tahu hutan ialah urusan negeri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Rakan Bumi Initiatif untuk Program Penanaman Bakau 2024 di Mangrove Point Pelabuhan Klang pada Ahad.

Beliau sementara itu turut mengingatkan kerajaan negeri sekiranya terdapat mana-mana kawasan hutan dinyahwarta, kerajaan negeri tersebut perlu ganti hutan berkenaan dengan kawasan hutan baharu

” … kita harap mereka dapat ikut perkara itu,” tambahnya.

BACA LAGI: Malaysia komited kekalkan 50 peratus liputan kawasan berhutan berbanding keluasan tanah

Program Penanaman Bakau 2024 merupakan sebahagian usaha NRES menambah keluasan hutan.

Setakat ini menurut Nik Nazmi ,kementerian itu juga telah menanam hampir 8,000 pokok bakau membabitkan kira-kira 3,500 hektar kawasan persisiran pantai di seluruh negara.

Related Articles

Back to top button