PRK Kuala Kubu Bharu: Referendum pengundi melayu tolak politik adu domba pembangkang
Kekalahan Perikatan Nasional (PN) di enam daripada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu boleh dianggap referandum rakyat menolak politik perkauman.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengulas keputusanPilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada Sabtu lalu berkata perkara itu membuktikan pengundi Melayu berubah sikap dan mula menyedari hakikat sentimen perkauman serta agama tidak boleh lagi dijadikan cagaran politik untuk meraih undi.
“Malah mereka mula memahami bahawa Kerajaan Perpaduan yang terbangun atas Titah Tuanku Agong ini tidak pernah sesekali meminggirkan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera, malah terus diperkasakan sebagai asas kestabilan negara berbilang kaum dan agama.
“Insya-Allah UMNO sebagai salah satu daripada 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini akan terus mempertahankan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera sebagaimana perjanjian yang dimeterai dan dipersetujui oleh semua.
“Yang penting lanskap politik baharu ini perlu diperkasakan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada jentera UMNO yang berjaya membantu memastikan kemenangan calon mewakili Kerajaan Perpaduan itu.
BACA LAGI: Kerajaan ikhtiar jadikan Malaysia lebih makmur – PM Anwar
Pang Sock Tao, yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) mewakili Kerajaan Perpaduan menewaskan tiga pencabarnya, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).
Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu memperoleh 14,000 undi menewaskan pencabar terdekatnya Khairul Azhari dari PN yang meraih 10,131 undi.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMMO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyifatkan PRK Itu sebagai peluang BN membalas jasa Pakatan Harapan (PH), yang telah membantu calon UMNO pada beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
Justeru pihaknya menggerakkan jenteranya untuk membantu Sock Tao sebagai calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan.