Pilihanraya

Pusat khidmat ADUN Kuala Kubu Bharu mula beroperasi esok

Penduduk sekitar Kuala Kubu Bharu boleh mendapatkan khidmat wakil rakyat mereka mulai esok.

Pang Sock Tao yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lalu memaklumkan, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu bakal mula beroperasi esok.

Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan, Sock Tao berkata beliau akan menggunakan pejabat wakil rakyat sebelum ini mendiang Lee Kee Hiong di Taman Gamelan.

“Terima kasih kepada pengundi Kuala Kubu Bharu yang telah menunaikan tanggungjawab mengundi. Saya akan terus bekerja dan berusaha menyelesaikan isu tempatan.

“Perancangan pertama saya ialah cari rumah secepat mungkin dan memulakan operasi pusat khidmat serta menyusun gerak kerja bersama pasukan sedia ada untuk mendengar masalah rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan program edaran bunga sempena Hari Ibu dan penghargaan kepada pengundi di sekitar Pekan Kuala Kubu Bharu pada Ahad.

BACA LAGI: ‘Saya wakil rakyat untuk semua, tak kira kaum, agama atau ideologi politik,’- ADUN KKB

Sock Tao yang juga bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu mengetepikan saingan calon Perikatan Nasional (PN) daripada BERSATU, Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Beliau memperoleh 14,000 undi dengan majoriti 3,869 undi, sekali gus mempertahankan kerusi itu yang dimenangi DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Related Articles

Back to top button