Semasa

Kerajaan lulus vaksin D-Tap ibu mengandung, cegah bayi dijangkiti batuk kokol

Kerajaan Persekutuan meluluskan pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi difteria-tetanus-pertussis (D-TaP) kepada ibu mengandung bermula hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pemberian vaksin secara percuma itu bertujuan melindungi bayi baharu lahir daripada jangkitan penyakit pertussis atau batuk kokol.

“Vaksin ini akan diberikan secara percuma di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP),” katanya selepas sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan dan Sidang Kemuncak Imunisasi Kebangsaan 2024 di Putrajaya pada Isnin.

Batuk kokol adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella Pertussis sehingga menyebabkan ia menjangkiti mulut, hidung dan tekak dan tersebar melalui udara ketika pesakit bersin atau batuk.

Antara gejala dijangkiti penyakit berkenaan termasuk mengalami batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu serta boleh berlarutan sehingga dua bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4life Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail dipetik laporan media berkata, sebanyak satu dos D-Tap akan diberikan kepada ibu mengandung yang dalam trimester ketiga atau usia kandungan antara 27 hingga 32 minggu.

BACA LAGI: KKM jalankan kajian menyeluruh keperluan sumber manusia di fasiliti kesihatan

Sementara itu dalam perkembangan berkaita, Dr Dzulkefly turut memaklumkan kerajaan sedang mempertimbang untuk memasukkan vaksin influenza ke dalam program NIP khusus untuk golongan warga emas.

“Kita tahu warga emas terdedah kepada risiko (jangkitan), saya harap mungkin untuk tahun depan dalam Bajet 2025 atau seterusnya, kita akan mohon untuk dimasukkan dalam NIP khas untuk golongan warga emas,” katanya.

Related Articles

Back to top button