Negeri

Kerajaan Selangor kenal pasti cadangan alternatif susulan tanah runtuh di Semenyih

Kerajaan Negeri Selangor melaksana tindakan segera susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, Semenyih.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim berkata pemakluman awal notis penutupan jalan dinaikkan pada persimpangan menghala ke lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan sekitar.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, Izham berkata pihaknya menerusi Jawatankuasa Kemajuan Infrastruktur negeri bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), mengenal pasti beberapa cadangan tindakan awal yang boleh dilaksanakan di kawasan itu.

Ia antaranya membuka laluan alternatif sementara merentasi kawasan tanah persendirian berdekatan bagi kemudahan pengguna

“Selain itu, operator lori sampah MPKJ turut menawarkan untuk pembinaan pembentung sementara di laluan tersebut dan perkara berkenaan juga sedang diteliti,” katanya.

BACA LAGI: Persekutuan peruntukkan RM1.69 bilion untuk lima Projek Tebatan Banjir di Selangor

Media melaporkan, laluan di kilometer 9.6 berdekatan Semenyih Eco Venture Resort dan Recreation runtuh susulan hujan lebat semalam.

Kejadian itu menyebabkan laluan kedua-dua hala tidak boleh dilalui dengan kenderaan dari arah Bukit Peras Hulu Langat dinasihatkan memasuki Simpang Jalan Sungai Tekali untuk menuju ke Semenyih.

Sementara, pengguna jalan raya yang menghala ke Jalan Sungai Lalang atau Bukit Peras disaran melalui Batu 9 Cheras, Jalan Hulu Langat.

Sementara itu menurut Izham, pihaknya akan memaklumkan perkembangan berkaitan dari semasa ke semasa.

Related Articles

Back to top button