Semasa

LKIM tambahbaik SOP, elak diesel bersubsidi diseleweng

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melaksana menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) pembelian diesel bersubsidi dalam kalangan nelayan bagi menangani penyelewengan.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata tindakan itu dilakukan berikutan kes penyelewengan diesel membabitkan nelayan menggunakan minyak yang sepatutnya dibekalkan kepada nelayan di Kuala Muda, bulan lalu.

“Seminggu selepas kejadian itu, kita memanggil semua pegawai dan pengurus besar persatuan nelayan kawasan (PNK) yang terbabit dengan jualan minyak diesel ini dan mengadakan pertemuan bagi membaiki beberapa SOP atau tatacara yang kita ketatkan untuk pastikan tiada ketirisan seperti ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Rahmah Mesra Bersama Nelayan Kuala Kedah pada Isnin.

Antara SOP baharu yang bakal dilaksana adalah supaya tiada lagi pembelian secara pukal diesel oleh nelayan bagi mengekang penyeludupan.

Media sebelum ini melaporkan dua lelaki ditahan polis ketika cuba memindahkan minyak diesel bersubsidi dari sebuah treler milik PNK Kuala Kedah ke dalam dua lori di sebuah premis di Bedong, Kuala Muda.

Hasil siasatan polis mendapati treler muatan diesel berkenaan dipercayai milik persatuan nelayan itu dan dipandu seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an.

BACA LAGI: LKIM jamin bekalan ikan tidak terjejas walaupun negara berdepan cuaca panas

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, pihaknya memandang serius insiden itu walaupun ia membabitkan kes terpencil.

“Sebab yang melakukan penyelewengan itu ialah pemandu treler berkenaan (individu) yang keluar daripada perjalanan asal sebelum sampai ke kompleks perikanan dia turunkan sedikit diesel di Kuala Muda.

“Untuk ketirisan seperti itu ia adalah kejadian membabitkan perlakuan individu dan kes terpencil.

“Bagaimanapun, LKIM memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan kehilangan wang negara yang boleh dimanfaatkan oleh kegunaan rakyat dan negara,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button