Global

PM Anwar, Sheikh Tamim adakan perbincangan isu konflik Palestin-Israel

Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membincangkan secara mendalam konflik Palestin-Israel pada pertemuan dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Melalui satu hantaran di X beliau berkata kedua negara bersetuju, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mencari penyelesaian bagi mengakhiri penderitaan rakyat Palestin.

“Dalam hal ini, negara-negara sepemikiran perlu bekerjasama bagi merealisasikan impian ini,” kata beliau dalam hantaran tersebut.

Pertempuran antara Palestin dan rejim zionis, yang kini memasuki tempoh lebih tujuh bulan sejak 7 Okt tahun lepas, kian memuncak dengan pencerobohan terbaharu Israel ke atas Rafah, meragut lebih 35,000 nyawa rakyat Palestin sehingga kini.

Malaysia, merupakan antara negara yang lantang mengutuk kekejaman zionis dan menyokong usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Pada Ahad, Malaysia dan Qatar sepakat menekankan kepentingan gencatan senjata segera yang kekal antara Hamas dan Israel, serta kepentingan rundingan yang sedang berlangsung dalam usaha menamatkan keganasan yang berlaku di Palestin.

Kesepakatan itu dicapai susulan pertemuan dua hala antara Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya yang juga Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Bin Jassim Al-Thani.

BACA LAGI: PM Anwar seru negara Arab, Islam tegas tuntut keadilan untuk Palestin

Sementara itu menurut Anwar, pada pertemuannya dengan Sheikh Mohammed pula, kedua-dua pemimpin sepakat bahawa kerjasama pelaburan di antara kedua-dua negara perlu terus dipertingkatkan dalam tahun-tahun yang mendatang.

“Turut dibincangkan adalah kerjasama dua hala dan mempermudahkan pelaburan serta pendidikan tinggi yang kemudiannya telah disentuh secara mendalam ketika pertemuan dengan Perdana Menteri,” tambahnya.

Anwar yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Qatar atas jemputan Sheikh Tamim Hamad sebelumnya diberi sambutan rasmi dan jamuan makan tengah hari di Amiri Diwan, yang merupakan dewan pemerintahan Qatar.

Related Articles

Back to top button