Global

Dunia Islam perlu gembleng usaha berdepan hipokrasi kuasa besar, tegas PM Anwar

Pemimpin dunia Islam perlu menggembleng segala usaha untuk berdepan cabaran dan kesengsaraan dalam era pasca normal terutama berkait isu Islamofobia, diskriminasi dan hipokrasi kuasa besar dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi contoh bagaimana hipokrasi berlaku dalam kalangan kuasa besar dunia apabila mereka bersuara dalam isu membabitkan Ukraine dan hanya membisu dalam soal kekejaman Israel di Gaza dan Palestin.

“Mereka mempersoal, di mana genosid, di mana ketidakadilan (dalam isu Palestin) dan ‘mantera’ mereka adalah 7 Oktober.

“Semua refleksi sebegini mengundang cabaran kepada dunia Islam, kepada saya dan anda semua sebagai profesor di universiti untuk menyahut cabaran yang cukup kompleks ini.

“Kita bukan mahu menentang sesiapa, tetapi untuk menyokong soal kemanusiaan,” katanya pada syarahan umum di hadapan kira-kira 300 hadirin di Perpustakaan Kebangsaan Qatar di Universiti Hamad Bin Khalifa di Doha semalam.

Pada sesi syarahan umum hampir 25 minit itu, Anwar menyentuh pelbagai isu berkisar tajuk ‘Future of The Muslim World’ (Masa Depan Dunia Islam) termasuk mengenai kekejaman.

Beliau melalui syarahan itu turut menyatakan kesedihan melihat banyak negara bukan Islam terus mempamer kebencian dan ketidakadilan terhadap minoriti Muslim.

BACA LAGI: Anwar seru pemimpin agama tegakkan keadilan, keamanan di seluruh dunia

“Kenapa anda bercakap berkaitan kemanusiaan, demokrasi dan hak asasi manusia tetapi pada masa sama membenarkan perlakuan itu melanggar nilai dan melakukan genosid terhadap segmen populasi tertentu, sama ada di Rwanda atau di Gaza.

“Orang ramai termasuk di Malaysia marah disebabkan kegagalan keseluruhan sistem. Komuniti antarabangsa? Tiada. Kuasa besar? Tiada. Media arus perdana? Tiada atau minimal. Pokoknya, kekejaman berterusan,” tambahnya.

Justeru, beliau berpesan kepada akademia dan mahasiswa yang hadir untuk terus istiqamah menjunjung nilai kemanusiaan dan ketulusan dalam merencana masa depan dunia Islam yang lebih cerah.

Related Articles

Back to top button