Semasa

Hasil siasatan dakwaan salah guna kuasa anak Menteri Besar Perlis dijangka siap minggu depan

Hasil siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan anak menteri besar Perlis dijangka diperoleh minggu depan.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azmi Kamaruzaman dipetik laporan berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan itu.

“SPRM sedang lengkapkan siasatan, saya harap akan ada keputusan (hasil siasatan) minggu depan, mungkin selewat-lewatnya Rabu depan,” katanya menurut Sinar Harian.

Anak lelaki Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli dilepaskan dengan jaminan SPRM pada 26 April lalu bersama empat individu lain yang turut ditahan bagi membantu siasatan dakwaan tuntutan palsu RM600,000.

Berdasar laporan awal media, pemalsuan dokumen itu membabitkan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga kini yang menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja tidak dilaksanakan.

BACA LAGI: Belum 2 tahun jadi kerajaan, reputasi PN di Perlis sudah calar – Razlan

Ia juga dikaitkan dengan penyediaan minuman untuk kegunaan Raja Perlis yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar membabitkan bayaran berjumlah RM19,505.10 dan difahamkan tiada sebarang air minuman yang dibekalkan kepada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail seperti mana butiran dokumen berkenaan.

Dokumen arahan pembayaran mengenainya juga didakwa tular di media sosial.

Related Articles

Back to top button