Semasa

Kerajaan komited buka semula zon aliran bebas Wang Kelian

Cadangan untuk membuka semula zon aliran bebas Wang Kelian yang dimansuhkan sejak 2015 sedang dipertimbangkan kerajaan.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Putrajaya menyatakan komitmen dengan kelulusan peruntukan RM30 juta dan antara perancangannya membabitkan pembangunan semula Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian serta kawasan Arked Niaga Wang Kelian.

“Komponen bagi pembangunan semula Kompleks ICQS Wang Kelian ini bakal menempatkan semua agensi keselamatan utama yang akan bergabung bawah Malaysia Checkpoints and Border Agency (MCBA).

“Komponen lain termasuk laluan empat lorong membabitkan ‘inbound’ dan empat lorong ‘outbound’ (laluan keluar dan masuk) berbanding hanya satu lorong ketika ini,” katanya menurut Berita Harian.

BACA LAGI: PM Anwar lulus RM14 juta peruntukan tambahan untuk ICQS Wang Kelian

Saifuddin berkata begitu selepas melawat Pos Imigresen Wang Kelian di Padang Besar pada Selasa.

Zon aliran bebas Wang Kelian ditutup mulai 1 April 2015 sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan sempadan bagi menyekat ancaman serta mengekang penyeludupan barangan terlarang.

Cadangan membuka semula aliran itu disambut baik pelbagai pihak termasuk Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail kerana mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi negeri itu.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Saifuddin berkata, kementeriannya yakin keberadaan pelancong China dan India yang memasuki negara ini menerusi Pelan Liberalisasi Visa (PLV) tidak akan menyebabkan berlaku lambakan rakyat negara berkenaan yang menyalahgunakan kemudahan terbabit dengan tinggal lebih masa di negara ini.

Menjawab kebimbangan sesetengah pihak, beliau menegaskan keberadaan pelancong tersebut sentiasa dalam pemantauan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi data biometrik yang diambil ketika mereka tiba di negara ini.

“Kita mempunyai rekod di mana kita boleh meneliti keberadaan mereka secara terperinci kerana apabila mereka tiba ke negara ini, mereka perlu mengisi ‘Malaysia Digital Arrival Card’.

“Apabila mereka tidak keluar juga dari negara ini (tinggal lebih masa), maka kita boleh kesan mereka menerusi biometrik,” katanya.

Related Articles

Back to top button