Semasa

KPKM seru sektor pertanian teroka penggunaan teknologi baharu

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyarankan supaya teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi inovasi utama dalam meningkatkan pembangunan pertanian di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setiap hala tuju dan fokus yang dicapai sepanjang tahun ini akan berpandukan kepada Pelan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang menekankan lima teras termasuk penerokaan penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian seperti AI.

“Saya berharap kepada semua agar konsep PINTAR ini dapat diperluas dan disematkan dalam fikiran dan jiwa setiap ejen pengembangan kita. PINTAR adalah kaedah kita untuk mencari solusi kepada permasalahan pertanian yang telah berdekad lamanya,” katanya.

Sementara itu beliau menyeru kerjasama daripada pihak swasta dan badan korporat dalam usaha itu yang jelasnya bukan hanya dapat meningkatkan pengeluaran makanan, tetapi juga menjimatkan kos.

“Negara China juga sudah mula menggunakan teknologi bagi mengawal hasil pertanian dan penternakan mereka.

“Penggunaan teknologi mampu mengubah struktur dalam menghasilkan sumber makanan dan boleh membantu meningkatkan keterjaminan makanan dalam negara,” katanya .

Mohamad sebelumnya menghadiri Majlis Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi 2024 di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang pada Selasa.

BACA LAGI: Masyarakat Kadazan Dusun diseru terlibat sektor pertanian

Sementara itu beliau menyatakan keyakinan negara mampu mencapai sasaran 50 peratus tahap sara diri (SSL) bagi sektor daging lembu menjelang 2030.

Bekalan daging tempatan untuk pasaran domestik ketika ini jelasnya masih lagi di bawah 20 peratus sehingga menyebabkan negara bergantung kepada import yang begitu tinggi terutama dari negara Australia, New Zealand, India dan pelbagai lagi negara lain.

“Sudah tentulah di pihak veterinar mereka terus tekun dengan kajian-kajian mereka memperkenalkan baka-baka baharu.

“Jadi, ia melibatkan semua pihak bukan hanya veterinar sahaja termasuklah semua kementerian, kerana proses untuk membuat ternakan ini perlu ada tanah yang agak luas dan kerjasama kerajaan negeri dan ini yang perlu dipermudahkan.

“Oleh yang demikian, kerjasama daripada semua pihak cukup penting bagi mengelak berlakunya karenah birokrasi,” katanya.

Related Articles

Back to top button