Global

Sudah sampai masa Mesir putus hubungan dengan Israel – MAPIM

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Kerajaan Mesir membuka sempadan Rafah bagi membolehkan bantuan yang tersekat dapat disalurkan ke Gaza.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pembukaan itu juga perlu disusuli usaha mempermudahkan orang awam di Gaza yang cedera menyeberangi sempadan bagi mendapatkan rawatan tanpa dilengah-lengahkan.

“Kemasukan semua bantuan yang tersekat di Mesir mesti dipermudahkan serta rawatan perlu diberikan segera kepada orang awam Gaza.

“Kami berharap kesulitan yang membebankan mangsa-mangsa yang cedera harus dihilangkan. Kami menyeru kerajaan Mesir untuk bekerjasama rapat dengan agensi antarabangsa ke arah menamatkan sekatan ke atas Gaza,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi sementara itu menegaskan, tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh Israel adalah terlalu berat untuk diabaikan oleh Mesir dan negara itu sangat tahu bahawa jiran mereka iaitu Gaza kini berada dalam operasi penghapusan oleh regim Israel.

Justeru, Mesir harus memainkan peranan penting dalam menamatkan kepungan di Gaza dan Israel tidak boleh dibenarkan untuk meneruskan sekatan ke atasnya.

BACA LAGI: PM Anwar, Sheikh Tamim adakan perbincangan isu konflik Palestin-Israel

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, MAPIM menyokong keputusan kerajaan Mesir yang memihak kepada kes Afrika Selatan terhadap Israel atas dakwaan jenayah pembunuhan beramai-ramai.

“Masanya sudah tiba untuk Mesir meneliti semula hubungan diplomatiknya dengan Israel, memandangkan malapetaka besar ke atas manusia di Gaza dan dikelilingi oleh tentera Israel.

“Korban manusia dan kemusnahan di Gaza telah mengalihkan pandangan dunia terhadap Israel dan AS. Sokongan menyeluruh terhadap pencalonan Palestin sebagai ahli penuh PBB memacu tamparan hebat kepada kedudukan Israel di mata antarabangsa,” tambahnya melalui kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button