ekonomi

Malaysia-Kyrgyzstan kukuh kerjasama termasuk sektor industri halal

Malaysia dan Republik Kyrgyzstan meningkatkan kerjasama dua hala dalam pembangunan industri halal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan bersama Presiden Republik Kyrgyzstan Sadyr Zhaparov berkata, kedua-dua pihak menyedari kepentingan industri halal yang semakin meningkat dalam ekonomi global dan potensi untuk pembangunan ekonomi.

“Kedua-dua pihak akan menggalakkan pembangunan kriteria dan standard yang sama dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan halal serta pembangunan infrastruktur yang diperlukan, termasuk makmal dan pusat latihan, memulakan pertukaran pengalaman dan amalan terbaik dalam pensijilan, pengeluaran serta pengedaran barangan dan perkhidmatan halal,” menurut kenyataan tersebut.

Anwar kini dalam lawatan rasmi selama dua hari ke republik itu yang menjadi negara pertama dikunjungi dalam lawatan rasminya ke Asia Tengah.

Selain Kyrgyzstan, Anwar turut dijadualkan ke Kazakhstan dan Uzbekistan.

Sementara itu perdana menteri berkata, Malaysia dan Kyrgzstan turut bersetuju untuk melaksanakan dan mewujudkan keadaan yang menggalakkan untuk meningkatkan perdagangan dua hala bagi menarik pelabur dan memudahkan perniagaan antara kedua-dua negara.

Bidang kerjasama yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin, antara lain ialah dalam bidang pertanian, perindustrian, tenaga, ekonomi kreatif, pengangkutan, perdagangan, perlombongan dan industri tekstil, termasuk bertukar-tukar pengalaman mengenai operasi zon ekonomi bebas.

BACA LAGI: Malaysia berazam terajui pasaran halal antarabangsa, sasar RM63.1 bilion menjelang 2025

Sementara itu Anwar dan Zhaparov turut menyatakan kesediaan mereka untuk usaha sama, pemindahan teknologi dan pelaburan dalam meningkatkan dan mengembangkan sektor ini.

Kedua-dua pemimpin mengakui bahawa mewujudkan jaringan udara secara terus antara kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam pembangunan perdagangan dan hubungan ekonomi, dengan kedua-dua pihak menyokong dan menggalakkan rundingan antara syarikat penerbangan kedua-dua negara untuk membuka laluan udara secara terus yang baharu.

Justeru Malaysia dan Republik Kyrgyz akan membangunkan pelancongan mampan sebagai faktor dalam mengukuhkan hubungan budaya dan perniagaan antara kedua-dua negara.

Related Articles

Back to top button