Istiadat Pertabalan Agong ke-17 di Istana Negara 20 Julai ini
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini.
Jurucakap mewakili kerajaan, Fahmi Fadzil berkata ia akan dimulakan dengan majlis bacaan surah Yasin dan doa selamat di Masjid Negara pada jam 5.30 petang, 18 Julai ini dan khutbah khas akan dibacakan pada solat Jumaat keesokannya di Masjid Negara.
“Ini diikuti dengan majlis Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Sabtu, 20 Julai bermula jam 10 pagi di Istana Negara.
“Pada hari sama, kerajaan akan menganjurkan Majlis Santapan Diraja jam 8.30 malam di Istana Negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan di-Pertuan Agong ke-17 di Putrajaya pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rozainor Ramli, mengumumkan pelantikan Fahmi sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.
Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada hari Rabu, 31 Januari 2024.
Sementara itu Fahmi berkata, Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah pada 3 Jun 2024 dan tarikh itu telah diwartakan sebagai cuti umum.
“Bagaimanapun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 telah mengampuni limpah perkenan supaya acara-acara Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda ditangguhkan dari bulan Jun ke bulan September.
“Ini bagi memberi keutamaan kepada Istiadat Pertabalan dan acara-acara lain Sempena Istiadat Pertabalan yang akan berlangsung pada bulan Julai,” tambahnya.
BACA LAGI: Semua lapisan masyarakat wajar hayati titah Agong
Mengulas lanjut beliau turut memberitahu, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong itu memberi peluang pada rakyat Malaysia untuk memahami dan memupuk rasa cinta rakyat terhadap institusi diraja.
Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi sedang menyelaras pelbagai aktiviti termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak media mengenai acara yang boleh diadakan sepanjang minggu menuju ke hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.