Semasa

Menteri arah tubuh pasukan petugas untuk pantau, selenggara pokok teduh di Kuala Lumpur

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membentuk pasukan petugas untuk memantau dan menyelenggara secara terperinci pokok-pokok teduhan di sekitar ibu negara.

Bercakap kepada pemberita, Dr Zaliha berkata pemegang taruh seperti badan bukan kerajaan, arboris (pakar tumbuhan berkayu) dan pakar dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan dilibatkan dalam pasukan tersebut.

“Pasukan ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat. Bagi langkah jangka pendek, kita sudah arahkan untuk menebang pokok-pokok yang dikenal pasti berisiko tumbang.

“Bagi langkah jangka panjang, kita perlu menilai semula semua aspek penanaman pokok teduhan termasuk spesies pokok, lokasi dan keluasan tanah sesuai selain tempoh pemantauan pokok yang sebelum ini dibuat setiap dua tahun, kita akan buat secara lebih kerap selepas ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri sesi taklimat berhubung kolam tadahan banjir (KTB) Kampung Bohol di Kuala Lumpur pada Khamis.

Sementara itu Dr Zaliha turut menjelaskan, pasukan yang bakal ditubuhkan itu boleh mendapatkan maklumat serta kerjasama pakar atau meneroka sistem penanaman dan penyelenggaraan pokok secara mapan dari luar negara.

BACA LAGI: PM Anwar arah ganti 1 pokok ditebang dengan 100 pokok baharu

Mengulas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap pohon yang terpaksa ditebang digantikan dengan 100 pokok baharu, Dr Zaliha berkata pihaknya akan merujuk perkara itu kepada pakar tumbuhan bagi mengenal pasti jenis pokok, lokasi serta jumlah yang sesuai untuk ditanam.

Related Articles

Back to top button