Global

PM Anwar mulakan lawatan ke Kazakhstan, kunjungi Masjid Besar Astana

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kazakhstan untuk lawatan rasmi sulungnya selama dua hari selepas mengadakan lawatan rasmi ke Kyrgyzstan.

Ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Nursultan Nazarbayev pada jam 4 petang semalam disambut rakan sejawatannya Olzhas Bektenov, Timbalan Menteri Luar Kazakhstan Alibek Bakayev.

Turut hadir adalah Datuk Bandar Astana Zhenis Kassymbek, Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah dan pegawai-pegawai dari pejabat Kedutaan Malaysia di sini.

Sejurus tiba Anwar mengunjungi Masjid Besar Astana dengan disambut Mufti Besar masjid itu, Nauryzbai Taganuly Optenov, yang juga Pengerusi Pentadbiran Kerohanian Muslim Kazakhstan (MUFTYAT).

Sepanjang kunjungan selama 20 minit itu, Perdana Menteri turut menunaikan solat dan mendengar taklimat Kassymbek mengenai pembinaan masjid berkenaan yang siap pada 2022 serta boleh memuatkan kira-kira 235,000 orang.

Terletak di sepanjang Laluan Sutera, ia merupakan masjid yang terbesar di Asia Tengah dan berfungsi sebagai pusat keagamaan penting di bandar raya itu.

Lawatan rasmi Anwar ke Kazakhstan melambangkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala yang sedia terjalin sejak 16 Mac 1992.

Nilai dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 ialah RM474.5 juta (AS$104.2 juta), dengan RM465.6 juta (AS$102.2 juta) adalah eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan dan RM8.9 juta (AS$1.9 juta) ialah nilai import dari Kazakhstan.

Kali terakhir Perdana Menteri Malaysia mengadakan lawatan ke negara Asia Tengah itu ialah pada 2014.

BACA LAGI: Malaysia-Kyrgyzstan kukuh kerjasama termasuk sektor industri halal

Perdana Menteri dan delegasi akan diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Ak Orda).

Kedua-dua pemimpin kemudian akan mengadakan mesyuarat dua hala untuk perbincangan yang lebih meluas membabitkan delegasi masing-masing.

Sebelum mengakhiri lawatannya esok, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada Sesi Meja Bulat mengenai kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Kazakhstan dan akan dihadiri Perdana Menteri Kazakhstan Olzhas Bektenov.

Anwar juga dijadual menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan agensi kerajaan dan perniagaan berkaitan daripada kedua-dua pihak.

Related Articles

Back to top button