PM Anwar ucap penghargaan kepada jasa dan pengorbanan guru
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaannya hari ini terhasil dari jasa dan pengorbanan mereka yang bergelar guru.
Melalui satu pesanan video sempena Hari Guru yang disambut semalam, Anwar berkata beliau bernasib kerana pendidikan yang diterima dari ibu bapa dan tentunya daripada guru-guru sejak kecil sehingga ke peringkat universiti.
“Saya mengenang jasa mereka dan mengingati tanpa pengorbanan dan dedikasi mereka, tidak mungkin saya mencapai sedikit kemajuan di tahap ini dan lebih penting ia datang daripada pendidikan, mutu ilmu, nilai dan juga akhlak.
“Terima kasih, selamat menyambut Hari Guru 2024,” katanya.
Sementara itu melalui satu kenyataan di laman Facebooknya, Anwar mengingatkan semua pihak agar terus berusaha meningkatkan sistem pendidikan negara untuk diakses seluruh rakyat Malaysia.
Ini kerana jelasnya, keperluan sistem pendidikan penting untuk peningkatan moral yang tinggi, sekali gus melahirkan anak bangsa yang cemerlang.
“Tentunya dalam konteks membentuk masa depan anak bangsa, komitmen, peranan dan dukungan guru adalah terpenting.
“Namun, usah dikesampingkan suatu fakta bahawa sistem pendidikan negara harus dipertingkat agar kita dapat memastikan akses yang sama dalam meraih ilmu pengetahuan serta tingkat moral yang tinggi.
“Jutaan penghargaan kepada guru-guru dan negara ini perlukan kebersamaan kalian terutamanya dalam usaha mewujudkan generasi penerus yang madani dan berketerampilan,” katanya.
BACA LAGI: PM arah semak semula sistem prasekolah, mahu asas pendidikan negara diperbaiki
Sebagai rekod, Anwar pernah bergelar seorang guru di Yayasan Aman Akedemi – institusi swasta ditubuhkannya pada tahun 1971 bersama sekumpulan siswazah universiti tempatan
Yayasan tersebut yang ditubuhkan di Kampung Baru Kuala Lumpur menyediakan peluang kepada pelajar-pelajar tidak bernasib baik untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, Anwar juga pernah menjawat jawatan Menteri Pelajaran dari tahun 1986 hingga 1991.