RUU rangka kerja kawal selia progresif CCUS dibawa ke Kabinet minggu depan
Rang Undang-Undang (RUU) rangka kerja kawal selia progresif mengenai pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada November ini.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kementerianya berharap RUU itu akan diluluskan pada akhir tahun ini.
Bagaimanapun jelasnya, sebelum dibawa ke Parlimen, rangka kerja itu akan dibentangkan terlebih dahulu pada mesyuarat Kabinet minggu depan.
“Kita mempunyai peluang untuk menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai pemimpin serantau tetapi pemimpin di peringkat global dalam CCUS.
“Kerajaan sedang berusaha untuk memastikan kita merebut peluang itu,” katanya pada ucaptama pada forum CEO OGSE100 anjuran Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) di Kuala Lumpur pada Khamis.
BACA LAGI: Malaysia-Kyrgyzstan kukuh kerjasama termasuk sektor industri halal
Difahamkan, RUU itu akan memberi panduan dari segi kelulusan kawal selia permohonan kepada industri dan pada masa yang sama melindungi kepentingan orang ramai.
“Dengan adanya kerangka ini, membolehkan pelabur masuk ke Malaysia kerana nilai industri ini untuk tempoh 20 tahun akan datang (dijangka) mencecah RM100 bilion.
“Justeru, pelaburannya sahaja melibatkan berpuluh bilion ringgit,” katanya, sambil menambah sesi libat urus telah diadakan dengan pemain industri.