ekonomi

Dasar berkesan, pengurusan yang baik faktor pemangkin pertumbuhan ekonomi – MOF

Prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada suku pertama 2024 membuktikan bahawa dasar kerajaan yang berkesan serta pengurusan ekonomi yang baik telah memangkin pertumbuhan.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata begitu melalui satu kenyataan sebagai mengulas perkembangan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2024 sebanyak 4.2% (S4 2023: 2.9%).

“Di sebalik kegalauan ekonomi dunia, prestasi ekonomi Malaysia kian mengukuh.

“Dalam tahun pertama pentadbiran, kerajaan Madani telah memulakan reformasi dasar yang menyeluruh serta komited melaksanakan agenda reformasi bagi mentransformasi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam,” kata kenyataan itu.

MOF turut berkata, kerajaan turut optimis Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan baik dan akan berkembang antara 4.0% dengan 5.0% bagi 2024, didorong pertumbuhan suku pertama yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Peningkatan momentum ekonomi jelasnya telah mencerminkan asas negara yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik, serta diperhebat lagi dengan dasar jitu kerajaan Madani.

Peningkatan keyakinan terhadap pasaran modal domestik juga boleh dilihat melalui rekod paras baharu FBM KLCI mutakhir ini yang mencerminkan minat pelabur dunia kembali tertumpu kepada naratif reformasi Malaysia, kata beliau.

“Pasaran buruh mengekalkan momentum positifnya dengan jumlah pekerja meningkat 2.1% kepada 16.4 juta orang, manakala lebih 50,000 pekerjaan baharu telah dicipta seterusnya menyumbang kepada kadar pengangguran yang rendah iaitu 3.3%.

Prestasi gaji dan upah kekal memberangsangkan dengan sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.3% dan pembuatan 1.2%. Kementerian itu menjelaskan kadar inflasi kekal rendah pada 1.7%,” kata kenyataan itu seperti dilapor.

BACA LAGI: Kerajaan telah mulakan usaha kukuh nilai ringgit – MOF

Sementara itu MOF berkata, kerajaan turut komitmen melaksana strategi dan langkah tambahan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dalam industri bernilai tambah tinggi sekali gus mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Related Articles

Back to top button