Fahmi syak ada ‘gerakan’ tersusun bangkit rasa tidak tenteram dalam kalangan masyarakat
Fahmi Fadzil percaya ada gerakan tersusun didalangi pihak tertentu untuk menimbulkan rasa tidak tenteram dalam kalangan masyarakat dengan menyebarkan maklumat palsu di media sosial.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi agaimanapun berkata, buat masa ini kementeriannya belum menerima apa-apa maklumat secara terperinci sama ada gerakan itu benar-benar tersusun atau wujudnya perikatan antara mereka yang terlibat.
“Nampaknya ada pihak yang sengaja (wujudkan) sejumlah akaun palsu, mereka buat sebaran untuk menimbulkan rasa ketidaktenteraman dalam masyarakat.
“Saya telah minta SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) mengenal pasti dan bekerjasama dengan polis untuk memanggil individu yang dipercayai (terlibat) dalam sebaran maklumat palsu secara tersusun ini untuk dirakam percakapan,” katanya selepas merasmikan majlis sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2024 di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Fahmi sebelumnya merujuk isu resit restoran makanan segera tertera perkataan menghina Islam yang tular baru-baru ini.
“Sekurang-kurangnya 15 akaun berbeza didapati menyebarkan gambar resit itu, bagaimanapun hantaran tersebut menggunakan ayat dan ejaan nama syarikat yang salah,” jelasnya.
BACA LAGI: SKMM diarah kenal pasti dalang ‘operasi tersusun’ burukkan kerajaan di media sosial
Baru-baru ini tular di media sosial satu hantaran gambar resit dikeluarkan sebuah restoran makanan segera di George Town, dengan komen berbaur provokasi hina agama Islam di ruangan ‘remark’ oleh seorang individu yang memesan makanan berkenaan.
Domino’s Pizza Malaysia dalam satu kenyataan kemudian melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pelanggan tersebut memasukkan komen berbaur negatif dan tidak menjaga sensitiviti ketika membuat pesanan dalam talian, susulan kes resit yang tular kerana menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi raja).
Susulan itu pihak berkuasa polis membuka kertas siasatan berhubung hantaran tular di media sosial berkaitan resit pesanan tersebut.