Global

Lawatan rasmi ke Uzbekistan: PM Anwar diberi sambutan rasmi di Istana Presiden Kuksaroy

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan sambutan rasmi di Istana Presiden Kuksaroy di Tashkent pada Jumaat sempena lawatan tiga hari beliau ke Uzbekistan.

Terdahulu, ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent pada pukul 2.15 petang waktu tempatan (5.15 petang waktu Malaysia) disambut oleh Perdana Menteri Uzbekistan, Abdulla Nigmatovich Aripov, Menteri Luar Uzbekistan Bakhtiyor Saidov, Datuk Bandar Tashkent Shavkat Umrzakov dan Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Ilham Tuah Illias.

Uzbekistan adalah perhentian terakhir lawatan Anwar ke tiga negara Asia Tengah selain Kyrgyzstan dan Kazakhstan.

Beliau kemudianya mengadakan mesyuarat dua hala bersama bersama Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev , antaranya bagi membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan, serta meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.

Hari ini perdana menteri dijadualkan melawat Kompleks Imam Hazrati, yang menyimpan manuskrip asal Khalifah Usman Quran (Mashaf Uthmani) – yang tertua di dunia.

Dari Tashkent Anwar kemudian akan berlepas ke Samarkand, dan beliau dijadualkan menyampaikan ucapan di Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia Peringkat Tinggi di Kompleks Pelancongan Jalan Sutera Samarkand.

Malaysia dan Uzbekistan menikmati hubungan rapat yang terjalin sejak 1992.

BACA LAGI: Menteri China puji ketegasan pentadbiran PM Anwar tidak tunduk kepada kuasa besar

Pada 2023 jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan ialah RM451.1 juta (US$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (US$93.6 juta) dan import berjumlah RM1.99 juta (US$414,518).

Pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet, negara itu mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 1991.

Lawatan terakhir Perdana Menteri Malaysia ke Uzbekistan dibuat oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata lawatan rasmi ini adalah atas jemputan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev sendiri.

Related Articles

Back to top button