PM Anwar kecam serangan pengganas di Balai Polis Ulu Tiram
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru yang mengorbankan dua anggota polis serta mencederakan seorang anggota lain.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan di Malaysia sehingga meragut nyawa.
Justeru perdana menteri berkata, beliau menyokong semua usaha dilakukan pihak polis dan meminta rakyat bekerjasama menentang keganasan.
“Soal keamanan kita tidak tolak ansur, kerajaan akan tegas. Nyawa rakyat adalah keutamaan kita, tiada maknanya kemajuan kalau keamanan tidak dikawal.
“Tindakan keras akan diambil bagi menghentikan kegilaan (keganasan) ini dan saya menyokong penuh langkah diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Minta rakyat beri kerjasama, sentiasa berwaspada dan jangan bagi peluang kepada golongan jahat ini,” katanya.
Beliau berkata begitu pada sidang media pada hari terakhir lawatan kerja rasmi dua hari ke Kazakhstan di Astana, ibu kota negara itu hari ini.
Dalam serangan pada 2.45 pagi Jumaat itu suspek yang bertopeng bersenjata pistol dan parang ditembak mati.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek berusia 22 tahun itu dipercayai ahli kumpulan Jamaah Islamiyah (JI) dan telah merancang dan melakukan serangan untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan.
BACA LAGI: Tiada tempat untuk media promosi keganasan, ucapan kebencian di negara ini
Sementara itu melalui satu hantaran di laman Facebooknya, Anwar menzahirkan perasaan sedih susulan kejadian itu.
Beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Konstabel Muhamad Syafiq, 24, dan rakannya Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 yang terkorban dan mendoakan kesembuhan untuk Koperal Mohd Hasif Roslan yang kini sedang menjalani rawatan.
“Insiden ini ternyata memilukan dan menggemparkan negara, dan saya utus takziah buat keluarga.
“Saya juga mendoakan semoga Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera dalam insiden ini diberikan kesembuhan sesegera mungkin,” katanya.