ekonomi

PM Anwar seru komuniti perniagaan teroka pelaburan baharu di Kazakhstan

Perdana Menteri menyeru komuniti perniagaan untuk terus meneroka peluang perniagaan dan pelaburan baharu di Kazakhstan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sentiasa memberikan kemudahan dan sokongan kepada komuniti perniagaan untuk mengembangkan operasi mereka ke luar negara.

“Bagaimanapun, komuniti perniagaan perlu berfikiran terbuka dan giat mencari peluang yang berpotensi di sini,” kata beliau dalam ucaptama pada sesi Meja Bulat Pelaburan Kazakhstan-Malaysia di Astana pada Jumaat.

Kazakhstan, negara terbesar di Asia Tengah dan kesembilan terbesar di dunia, mempunyai jumlah penduduk kira-kira 20 juta orang dan lebih 70 peratus daripadanya beragama Islam.

Sesi Meja Bulat diadakan disertai 12 tokoh industri terkemuka Kazakhstan dari 12 syarikat yang tersenarai dalam Forbes antaranya Kazakhmys Corporation LLP, Magnum Cash & Carry, Orbis Kazakhstan, Mechta Market dan Alageum Electric Group.

Pada sesi itu, empat memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani yang dijangka menjana eksport sebanyak RM1.6 bilion (AS$350 juta).

MoU yang dimeterai membabitkan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Institut Kajian Strategik Kazakhstan (KazISS), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan Kebangsaan Kazakhstan (Atameken).

Turut memeterai MoU adalah Hyrax Oil Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Alegeum Electric serta antara Berkat OSH Services Sdn Bhd dan APEC Training Center LLP.

BACA LAGI: Malaysia-Kyrgyzstan kukuh kerjasama termasuk sektor industri halal

Sementara itu menurut Anwar, Kazakhstan telah menyatakan bersetuju memberi peluang kepada syarikat Malaysia untuk meneroka pelbagai bidang di negara Asia Tengah itu termasuk perlombongan dan tenaga boleh baharu.

Kazakhstan juga mahu mengukuhkan kerjasama termasuk perkongsian pengetahuan kerana Malaysia mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam industri pembuatan cip.

“Kazakhstan adalah negara penting di Asia Tengah kerana kekuatan ekonominya dan mereka juga mahu hubungan dengan Malaysia terus ditingkatkan,” kata Anwar.

Related Articles

Back to top button