Sukan

KBS perhebat kerjasama, gilap potensi dan bakat belia negeri Kelantan

Kementerian Belia dan Sukan akan memperhebatkan kerjasama dengan Kelantan bagi memastikan golongan belia di negeri itu menikmati manfaat besar dari program diatur kerajaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli berkata, golongan belia Kelantan akan diberikan perhatian rapi daripada pelbagai aspek, termasuk pembangunan karakter dan jati diri memandangkan potensi mereka dalam pelbagai bidang.

“Ia menjadi titik penting untuk kita bersama-sama berusaha memastikan belia di negara ini sentiasa diperkasa dengan kepelbagaian kemahiran, untuk muncul lebih bertenaga dan berfikiran kritis.

“Oleh itu, saya menyeru seluruh pertubuhan belia khususnya Majlis Gabungan Belia Kelantan, untuk mempergiatkan usaha meningkatkan penyertaan golongan belia di negeri ini dalam organisasi belia,” katanya.

Adam Adli sebelumnya ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2024, di Kota Bharu pada Sabtu.

BACA LAGI: SPRM siasat projek HCW di Kelantan, percaya berlaku manipulasi

Hari Belia Negara disambut pada setiap 15 Mei bagi memperkukuhkan potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara dan memperluaskan akses belia kepada inisiatif dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Langkah itu seiring dengan kerangka Malaysia MADANI serta model Pembangunan Belia MADANI 2030.

“Saya mahu melihat seluruh pertubuhan belia di Kelantan menjadi contoh di peringkat nasional, sebagai kelompok pertubuhan belia yang berupaya berdiri sendiri dan maju sebagai organisasi,” tambahnya yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.

Related Articles

Back to top button