Malaysia -Uzbekistan meterai MoU dalam pelbagai bidang
Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Uzbekistan dimeterai pada Sabtu, untuk kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.
MoU itu antaranya melibatkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Dewan Perdagangan dan Industri Uzbekistan (CCIU) sebagai usaha mengukuhkan dan membangunkan kerjasama promosi perdagangan antara kedua negara.
Turut dimeterai adalah MoU antara Sunview Sdn Bhd dan Yashil Energiya” LLC untuk pemasangan panel solar dengan jumlah kapasiti hingga 50 mW di bangunan organisasi sosial dan pejabat kerajaan di Uzbekistan.
Unversity Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Tashkent State University of Economics (TSUE) turut bertukar MoU bagi kerjasama dalam sektor pendidikan.
Ia untuk membangunkan program kolaboratif bagi manfaat pihak-pihak dan menyediakan peluang serta sokongan kepada pelajar dalam pembangunan profesional dan kerjaya mereka.
Melalui MoU itu, kedua-dua universiti juga akan menggalakkan pertukaran institusi dengan menjemput fakulti, petugas dan pelajar daripada institusi rakan kongsi, selain bekerjasama dalam program pendidikan yang dipersetujui pihak-pihak dan dalam geran penyelidikan PhD, Penyelidikan Bertauliah, geran padanan, penyelidikan dan pembangunan perpustakaan.
Kedua-dua universiti turut bersetuju untuk berkongsi pengetahuan berhubung perkembangan dalam pengajaran, penyelidikan, latihan dan amalan, serta menganjurkan projek penyelidikan dan perundingan bersama dalam bidang kepentingan bersama, dan mengelolakan simposium, acara, sesi, persidangan, bengkel, kursus pendek, wacana dan mesyuarat mengenai perakaunan dan kewangan, ekonomi dan perniagaan.
Selain UNIMAS, Universiti Utara Malaysia (UUM) turut bekerjasama dengan TSUE dalam pertukaran fakulti, aktiviti penyelidikan bersama dan penerbitan, program akademik (Ijazah Berganda, Sarjana dan PhD).
Kedua-dua pihak memeterai MoU bagi berkolaborasi dalam penyertaan seminar dan mesyuarat akademik, pertukaran bahan akademik dan maklumat lain, program akademi jangka pendek khas, pertukaran pelajar untuk penyelidikan dan mengkaji mana-mana bidang kerjasama yang dipersetujui bersama dari semasa ke semasa.
UUM juga akan bekerjasama dengan Banking and Finance Academy (BFA) dengan UUM menawarkan program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBM) dan sebaik selesai, BFA akan memindahkan kredit ke program MBA institusi itu.
Majlis pertukar MoU yang diadakan di Kompleks Laluan Sutera Samarkand disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Khodjaev.
BACA LAGI: PM Anwar seru komuniti perniagaan teroka pelaburan baharu di Kazakhstan
Anwar berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi selama tiga hari. Beliau tiba di Tashkent pada Jumaat.
Antara anggota delegasi Malaysia sewaktu lawatan di Uzbekistan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.